"Perlu ada perancangan terperinci andai bergelar pemain profesional," demikian pandangan bekas pemain negara, Ong Ewe Hock, mengenai beberapa pemain yang bertindak keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Musim 2019 menyaksikan BAM kehilangan beberapa pemain yang mengubah haluan untuk bergelar pemain profesional.

Terbaru, pasangan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, mengambil keputusan keluar daripada badan induk berkenaan.

Daripada segi positif, ketiadaan mereka dilihat sebagai situasi menang-menang buat BAM kerana merancang untuk mengecilkan skuad kebangsaan kepada 48 pemain pada 2019.

Menurut Ewe Hock, cabaran adalah lebih sukar buat pemain profesional ini kerana perlu membuat perancangan sendiri di samping perlu bergantung kepada dana tajaan peribadi.

"Ia memberi peluang pemain-pemain untuk beraksi di pentas antarabangsa. Jika sebelum ini, jika pemain tidak berada di bawah BAM, sukar mendapatkan pengalaman di luar negara," katanya.

Sementara itu, Ewe Hock yakin beberapa kelab persendirian dapat membantu pemain profesional ini untuk memudahkan mereka menyertai beberapa kejohanan utama.

"Sekarang terpulang kepada pemain-pemain untuk mencuba nasib selain daripada di bawah naungan BAM. Badminton Malaysia kini telah memasuki fasa baru dalam menghasilkan pemain yang berkualiti."