Pearly-Ee Wei mampu pergi lebih jauh -- Amelia

Oleh Staff Writer 21 November 2018 226
Pearly-Ee Wei mampu pergi lebih jauh -- Amelia
Jurulatih beregu wanita remaja negara, Amelia Alicia Anscelly, meletakkan kepercayaan dua anak didiknya, Pearly Tan dan Toh Ee Wei, mampu digilap dengan lebih gemilang di bawah kendalian jurulatih negara, Rosman Razak apabila kedua-dua pemain itu diserapkan ke skuad senior.

Amelia mula membimbing Pearly dan Ee Wei sejak 11 bulan lalu apabila kembali berkhidmat dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sejak dilantik Januari lalu.

Dalam tempoh itu, Amelia berjaya membantu Pearly-Ee Wei sehingga mereka meraih gelaran naib juara Kejohanan Remaja Dunia di Markham, Kanada minggu lalu.

Pengumuman penyerapan mereka ke dalam skuad senior menghadirkan kegembiraan buat Amelia kerana percaya Pearly-Ee Wei mampu pergi lebih jauh di bawah kendalian Rosman yang turut pernah membimbing Amelia sebelum ini ketika bergelar pemain negara bersama Soong Fie Cho.

"Saya yakin mereka mampu mempamerkan aksi yang lebih cemerlang pada masa akan datang. Keinginan yang dipamerkan oleh Pearly-Ee Wei boleh menjadikan mereka beregu wanita nombor satu negara pada masa akan datang," kata Amelia.

Skuad beregu wanita negara ketika ini dahagakan muka baru selepas Woon Khe Wei masih dalam proses pemulihan serta beberapa tonggak mula meninggalkan kem kebangsaan seperti Lim Yin Loo, Tee Jing Yee mahupun Fie Cho.

Sandaran utama Malaysia ketika ini tertumpu kepada pasangan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yuen serta pasangan baru dibentuk, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen.

"Saya berasa sangat bangga kerana baru sahaja menjadi jurulatih, saya dapat membantu pemain-pemain mempamerkan persembahan berkualiti. Ia akan menjadi sumber serta semangat bagi saya untuk membantu lebih ramai lagi pemain negara untuk beraksi cemerlang," kata Amelia lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen