Kejayaan seteru seperti Indonesia yang memiliki lima beregu lelaki dalam kelompok 20 terbaik dunia boleh dicabar Malaysia tetapi bukan dalam sekelip mata.

Malaysia mempunyai individu yang mengetahui secara intim struktur badminton Indonesia menerusi ketua jurulatih beregu lelaki negara, Paulus Firman.

"Berpandukan sejarah, Indonesia sentiasa mempunyai lima wakil beregu dalam kelompok 20 terbaik dunia.

"Kita perlu melihat berapa tahunkah mereka mengambil masa untuk mencapai tahap seperti ini, ia bukanlah usaha setahun dua.

"Ini yang harus kita pertimbangkan.

"Kita mempunyai tiga pasangan beregu dalam kelompok 20 terbaik, namun untuk melahirkan beregu seterusnya, ia memerlukan masa untuk seseorang pemain itu mencapai kematangan permainan serta mula mengumpul mata ranking," ujarnya.

Kontinjen beregu lelaki Indonesia dianggap yang terbaik pada waktu ini untuk terus meletakkan tiga gandingan utama negara dalam bayangan.

Buat masa ini, masih belum ada petanda pasangan beregu senior, Tan Wee Kiong-Goh V Shem serta Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, untuk mencabar barisan elit dunia.