Skuad badminton para negara meniti laluan untuk merealisasikan apa yang gagal dikecapi oleh barisan pemain Malaysia dalam Sukan Olimpik, dengan memenangi emas di pentas tertinggi, iaitu Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Pada 7 Oktober 2014, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) mengumumkan badminton adalah antara 22 sukan yang akan dipertandingkan di Tokyo.

Ia merupakan satu khabar gembira yang sudah lama dinanti-nantikan oleh barisan pemain dan jurulatih.

"Sudah tentu sangat gembira kerana kami mahu melihat pemain para dapat beraksi di peringkat tinggi. Sudah tentu semua orang gembira," kata jurulatih badminton para negara, Moe Chin Kiat.

Salah seorang pemain, Chieh Liek Hou, yang pernah mengecapi kemasyhuran bergelar juara dunia dalam acara perseorangan lelaki dan beregu kategori SU5 sebanyak lima kali sejak edisi 2005, adalah
antara individu yang sudah lama menanti perkembangan menggembirakan itu.

Merangkul gelaran pertamanya ketika berusia 17 tahun dan kini sudah pun berusia 29 tahun, Liek Hou berkongsi pendapat jika badminton disenaraikan lebih awal dalam Paralimpik, dia mungkin menjadi warga Malaysia pertama dikalungkan pingat emas dalam temasya sukan itu.

"Pada masa itu, saya berlatih sepenuhnya dan belum lagi ada komitmen dalam pekerjaan. Kalau aktif dalam latihan, saya lebih yakin dan boleh menang pingat emas," katanya.

Sebagaimana pemain badminton normal, skuad badminton para juga tidak kurang hebatnya.

Nama-nama seperti Madzlan Saibon, Hairol Fozi Saba dan Didin Taresoh adalah antara pemain yang mempunyai ranking baik di persada dunia di samping pelbagai kejayaan yang pernah dilakar sepanjang
penglibatan mereka dalam arena antarabangsa.

"Bagi saya, ia dapat membantu membuka peluang kepada pemain muda. Ia peluang untuk mereka lebih menonjolkan diri, terutama di peringkat tinggi," kata seorang lagi pemain badminton para negara,
Bakri Omar.

Bagi memastikan prospek negara pulang dengan kejayaan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) juga telah menubuhkan Jawatankuasa Badminton Para bagi meningkatkan perkembangan pemain, mencari bakat baru dan melaksanakan pemilihan pemain.

Pada ketika ini, terdapat empat pemain badminton para negara yang disenaraikan dalam Program Podium di bawah kendalian Institut Sukan Negara (ISN), antaranya Liek Hou, Madzlan, Hairol dan Bakri.

"Kita melihat, untuk sampai kepada peringkat Paralimpik yang melibatkan 14 acara, ia juga sama, iaitu melibatkan kebolehan fizikal yang memerlukan proses kelayakan," kata Presiden BAM, Datuk Seri
Norza Zakaria.

Pencapaian skuad badminton para negara musim ini sangat memberangsangkan apabila meraih kejuaraan di peringkat antarabangsa, antaranya di Amerika Syarikat dan Sepanyol.

Sementara itu, empat pingat emas berjaya dirangkul dalam Sukan Para ASEAN, Kuala Lumpur, September lalu.

Pencapaian badminton para Malaysia pada 2017

• Sukan Para ASEAN:
Empat emas, tiga perak dan lapan gangsa.

• Dua kejuaraan Kejohanan Antarabangsa Amerika Syarikat

• Dua kejuaraan Kejohanan Antarabangsa Sepanyol

• Dua kejuaraan Kejohanan Antarabangsa Jepun

• Dua kejuaraan Kejohanan Antarabangsa Thailand