Kebangkitan yang dipamerkan pemain muda China di dua Kejohanan Siri Super telah menjadi amaran buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bahawa sudah tiba masanya pelapis negara diberikan peluang beraksi di kejohanan utama.

Timbalan Presiden, Datuk Seri Norza Zakaria, jujur berasa gusar melihat perkembangan badminton China yang mula mengorak langkah ketengah bakat-bakat muda.

Norza telah mengadakan perbincangan dengan Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen, mengenai formula bersesuaian agar prestasi pemain muda negara dapat dipertingkatkan.

“Saya telah berbincang dengan Frost, sudah tiba masa buat pemain muda kami untuk menyertai Kejohanan Siri Super seperti yang telah dilakukan oleh China,” kata Norza.

Qiao Bin berusia 23 tahun muncul juara perseorangan lelaki Terbuka Korea Selatan sementara beregu lelaki, Li Junhui-Liu Yuchen, kedua-duanya baru berumur 21 tahun, menjuarai Terbuka Jepun.

Norza bagaimanapun tetap memuji rentak konsisten pemain negara selepas pentas Olimpik kerana sekurang-kurangnya mampu mara ke suku akhir Kejohanan Siri Super.

Namun, itu bukan satu petanda mereka boleh berpuas hati sebaliknya mahu sistem latihan sedia ada terus dipertingkatkan.

“Kami mahu skuad badminton negara mempamerkan permainan yang lebih konsisten dengan sekurang-kurangnya mara ke pusingan suku akhir dan tidak terkandas di pusingan awal.”

Ketika China menjadikan Kejohanan Siri Super sebagai lapangan ujian buat pemain pelapis mereka, Malaysia yang masih bersandarkan kepada wakil utama hanya mencatat keputusan terbaik menerusi gandingan Goh V Shem/Tan Wee Kiong yang menamatkan cabaran Terbuka Korea di separuh akhir.