Norza: Sikap dermawan Chong Wei perlu diteladani

Oleh Muzaffar Musa 30 Mei 2020 714
Norza: Sikap dermawan Chong Wei perlu diteladani
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, menganggap sikap dermawan legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, yang tidak mengira agama dan bangsa, patut dijadikan teladan.

Tular dalam laman sosial apabila laman Facebook, Masjid Al-Hidayah, Kampung Sungai Penchala, memuat naik berita penerimaan sumbangan daripada pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu.

Status berkenaan turut mendapat perhatian dan dikongsikan oleh laman Facebook rasmi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Sebagai orang yang rapat dengannya, Norza berkongsi mengenai sikap dermawan bekas pemain nombor satu dunia itu bersama wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly.

"Kalau kita lihat kepada sejarah Datuk Lee Chong Wei, apabila dia berlawan dalam Sukan Olimpik, dia sentiasa menyedari bahawa satu Malaysia sedang menyokongnya.

"Adakalanya, ketika dia tertekan untuk memungut mata kemenangan, kita dapat lihat dalam video ada makcik-makcik Melayu yang sedang berdoa supaya dia menang.

"Jadi, dia sememangnya menyedari terdapat sokongan seluruh rakyat Malaysia di belakang kejayaannya.

"Sebab itu apabila dia bersara, dia selalu ingin memberikan balasan buat mereka-mereka yang sudah membantu menaikkan dan memberikan sumbangan kepadanya.

"Dan tentu sahaja kita dapat lihat dia merupakan atlet legenda yang wajar dijadikan contoh," katanya.

*Kredit foto: Masjid Al-Hidayah.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen