Pemain badminton negara di bawah program Road to Tokyo (RTT) mungkin kembali menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada 1 Jun depan dan masih menunggu kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Sesi latihan untuk atlet negara terhenti berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac lalu bagi mengekang penularan COVID-19.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, juga memutuskan untuk mengundang pemain bebas yang berkemungkinan besar layak ke Sukan Olimpik Tokyo berdasarkan ranking semasa dalam Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk berlatih dua kali seminggu di ABM bersama-sama dengan skuad kebangsaan pada pertengahan Julai depan.

“Demi kepentingan negara dan skuad badminton kebangsaan, saya membuat keputusan untuk mengundang pemain-pemain bebas. Sebaik sahaja pemain ini mengesahkan kelayakan mereka ke Sukan Olimpik Tokyo, mereka akan diundang untuk menjalani latihan sepenuh masa di ABM.

“Saya amat berharap pemain berkenaan akan mengambil peluang ini untuk bekerja sebagai satu pasukan Malaysia dan pada masa sama, bekerja lebih keras untuk mencapai impian Olimpik.

"Selepas mesyuarat baru-baru ini dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, BAM telah bergerak secara proaktif membuat persediaan bagi pemain kebangsaan kita kembali ke ABM.

“Sebagai Presiden BAM, saya telah mengambil langkah untuk memastikan BAM dan ABM bersedia untuk dibuka secara berperingkat. ABM menempatkan pemain, jurulatih dan pejabat pentadbiran BAM dan dengan itu, semua prosedur operasi standard (SOP) telah dipertingkat dan akan dipatuhi sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norza menegaskan langkah berhati-hati tambahan akan dilaksanakan untuk keselamatan semua orang di premis itu.

Antara pemain badminton bebas yang dilihat bakal menempah tiket ke Tokyo ialah pemenang pingat perak pada temasya Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki).

Norza, yang menjangkakan skuad Piala Thomas dan Piala Uber untuk mula menjalani latihan dari 15 Jun depan, mahu pasukan berkenaan mencatatkan kejayaan dalam Piala Thomas dan Uber selepas kedua-dua kejohanan itu dijadualkan semula ke 3-11 Oktober di Aarhus, Denmark disebabkan pandemik COVID-19.

“Berikutan kita mahu pemain terbaik untuk mewakili Malaysia, saya ingin mengundang pemain bebas untuk menyertai pasukan ini dalam kejohanan itu. Pemain bebas yang dipilih akan diundang untuk menjalani latihan di ABM menjelang pertengahan Julai 2020.

“Ini dengan harapan pemain berkenaan akan dapat berlatih bersama-sama dan pada masa yang sama, membina ‘esprit de corps’ sesama mereka. Berikutan BAM mengambil langkah proaktif seumpama itu, saya amat berharap pemain akan berusaha keras dan pada masa yang sama, membawa kegemilangan kepada negara kita yang tercinta, Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA