Norza gembira dengan kejayaan Chong Wei di Hong Kong

Oleh Penulis Jemputan 27 November 2017 480
Norza gembira dengan kejayaan Chong Wei di Hong Kong
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi presidennya, Datuk Seri Norza Zakaria, teruja dengan kejayaan Datuk Lee Chong Wei dalam Terbuka Hong Kong di Kowloon, semalam.

BAM, yang akan terus bergantung kepada kudrat Chong Wei bagi kempen penting 2018 seperti Piala Thomas, Sukan Komanwel dan Sukan Asia, kekal dengan pendekatan untuk tidak meletakkan tekanan ke atasnya.

"Saya rasa pendekatan BAM untuk tidak meletakkan tekanan kepada Chong Wei selepas dia gagal dalam pusingan pertama Kejohanan Dunia telah menunjukkan hasil," katanya.

Dalam pada itu, Norza turut berasakan masa perlu diberikan kepada dua gandigan elit negara, Goh V Shem-Teo Ee Yi dan dan Tan Wee Kiong-Ong Yew Sin, bagi mencari rentak.

Setakat ini, beberapa penampilan mereka seperti dalam Siri Super Terbuka Perancis, Siri Super Terbuka China dan Siri Super Terbuka Hong Kong tidak menawarkan impak positif yang diidamkan.

"Walaupun nampak satu kemajuan, namun seperti saya katakan, Cheah Soon Kit (jurulatih beregu) masih melihat perkembangan mereka dan kami akan mengenal pasti siapa yang lebih layak untuk menyertai kelayakan Piala Thomas di Alor Setar, Kedah nanti," ujarnya.

Chong Wei tidak ada banyak masa untuk meraikan kejayaan di Hong Kong kerana tugasan dalam Siri Super Akhir akan berlangsung di Dubai dari 13 hingga 17 Disember nanti.

Dia meraih gelaran kedua Siri Super musim ini dengan menundukkan pemain China, Chen Long, 21-14, 21-19 dalam final perseorangan lelaki Terbuka Hong Kong.

Chong Wei sebelum ini menjuarai Terbuka Hong Kong empat kali pada 2009, 2010, 2013 dan 2015.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen