Timbalan Presiden, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, mengakui wujud jurang prestasi di antara pemain BAM dan produk kelab ketika Kejohanan Remaja Dunia yang lalu.

Ketika perbandingan mula dicanangkan, Norza tidak mahu panik dengan keadaan terbaru itu.

Beliau mengakui beberapa produk remaja BAM, antaranya Lee Zii Jia, Goh Jin Wei dan M, Thinaah, kurang menyerlah di Sepanyol, namun menegaskan itu bukan ukuran sebenar prestasi mereka.

"Saya tidak akan kata ia adalah isu, tapi sudah tentu pembabitan pemain kelab dalam saingan Purple League Senior dan Remaja telah membuahkan hasil.

"Ini satu perkembangan yang sihat. Ia juga cabaran buat BAM untuk mengangkat pemain-pemain kami ke tahap yang seterusnya," katanya.

Tegas Norza, hal ini sepatutnya dilihat daripada aspek positif dengan menegaskan ia bukan sesuatu yang kritikal, malah mampu menyumbang kepada perkembangan sihat skuad remaja negara.

"Saya dapat lihat jurang di antara pemain remaja kita dan pemain negara lain.

"Kita seharusnya meraih pencapaian yang lebih baik dengan adanya lebih banyak pembangunan yang dijalankan dan kemudahan yang disediakan kepada pemain remaja adalah setaraf dengan pemain senior."

Chen Tang Jie dan Man Wei Chong dari kelab Petaling BC mencuri tumpuan dalam Kejohanan Remaja Dunia apabila mara ke separuh akhir beregu campuran di Sepanyol, baru-baru ini.