Neymar dan Kylian Mbappe akan kekal di Paris Saint-Germain (PSG), menurut presiden, Nasser Al-Khelaifi.

Gandingan bintang itu membantu PSG bangkit daripada ketinggalan untuk menang 2-1 ke atas Atalanta dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) di Lisbon awal pagi tadi.

Memiliki kontrak di PSG sehingga 2022, Neymar dan Mbappe telah dikaitkan dengan perpindahan meninggalkan juara Ligue 1 itu.

Bagaimanapun, Al-Khelaifi menegaskan kedua-dua pemain itu akan kekal di PSG dan memuji permainan yang ditampilkan.

"Ney, dan Kylian, salah seorang pemain terbaik dunia. Mereka dalam kalangan tiga terbaik," katanya.

"Ney merupakan pemain terbaik perlawanan [berdepan Atalanta]. Dia telah mengharungi perlawanan yang cemerlang. Dia dan Kylian tidak akan berhijrah. Mereka akan kekal."

Ketinggalan menerusi jaringan Mario Pasalic, PSG bangkit pada penghujung permainan menerusi gol daripada Marquinhos dan Eric Maxim Choupo-Moting dalam masa kecederaan.



Al-Khelaifi berbanggsa dengan PSG, yang menyasarkan kejuaraan UCL yang pertama dan bakal berdepan RB Leipzig atau Atletico Madrid dalam separuh akhir.

"Ia merupakan hari yang istimewa buat kami. Sangat istimewa, kami perlu mengubah mentaliti ketika bersaing.

"Saya sangat berbangga. Mengucapkan terima kasih kepada pemain-pemain dan staf pasukan. Bukan mudah selepas saingan yang terhenti ekoran pandemik Covid-19.

"Kami menampilkan mentaliti yang terbaik.

"Ini merupakan kali pertama kami mara ke separuh akhir [sejak Pelaburan Sukan Qatar mengambil alih pada 2011]. Saat yang bersejarah."