Kesihatan jaguh badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei, tetap menjadi keutamaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) biarpun dia dijangka sudah bersedia untuk kembali ke gelanggang dalam masa dua minggu lagi.

Kepulangan Chong Wei ke kem latihan sememangnya dinantikan selepas dia sebelum ini disahkan menghidap kanser hidung.

Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, mengesahkan keadaan pemain utama negara itu dalam keadaan baik dan sesekali hadir ke gelanggang untuk menjenguk rakan sepasukannya berlatih.

Namun, Norza mahu Chong Wei tetap mengutamakan proses pemulihannya sebaik mungkin, tidak kira sejauh mana kesediaannya untuk kembali ke sesi latihan yang dijangka dalam tempoh dua minggu lagi.

"Saya ada bercakap dengannya dua tiga hari yang lalu.

"Saya sempat bertanyakan khabarnya dan dimaklumkan semuanya berjalan dengan baik.

"Chong Wei memenuhi setiap latihan yang perlu dijalaninya dan dia juga mengatakan ada menjenguk rakan sepasukannya.

"Setakat ini sahaja perkembangannya sebagaimana kami mahu proses pemulihannya mengikuti saranan doktor," ujar Norza.

Dalam pada itu, Norza menyerahkan segala perancangan buat beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM, esok.

Prestasi bekas pasangan beregu lelaki nombor satu dunia itu merudum apabila empat kali berturut-turut tersungkur dalam pusingan kedua dengan kejohanan terakhir adalah Terbuka Korea Masters tempoh hari.

"Daripada segi aspek teknikal, saya serahkan kepada pihak C&T dan Pengarah Kejurulatihan, Wong Choong Hann, untuk memaklumkannya.

"Kalau banyak sangat yang presiden cakap, nanti dituduh pula macam banyak tahu sangat tentang aspek teknikal.

"Dalam masa sama, BAM telah menyediakan pelan persiapan ke Sukan Olimpik 2020 yang telah disediakan oleh Pengerusi C&T, Ng Chin Chai, dan Choong Hann," kata Norza lagi.