Bekas ketua jurulatih kebangsaan, Yap Kim Hock, adalah antara nama yang diintai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menggantikan Jeremy Gan yang meletak jawatan selaku jurulatih beregu lelaki negara.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, tidak menafikan spekulasi tersebut, namun menyerahkan keputusan itu kepada ketua jurulatih, Cheah Soon Kit, untuk membuat pilihan.

Kriteria proses pemilihan kali ini memerlukan seorang individu tempatan yang mampu bekerjasama baik dengan Soon Kit serta membantu memberi insprirasi kepada barisan pemain beregu yang bernaung di bawah BAM ketika ini.

Kim Hock dilihat sebagai calon berkelayakan, apatah lagi dia sendiri pernah menjadi ketua jurulatih di BAM dari 2004 hingga 2008 selain pernah menjadi rakan gandingan Soon Kit ketika meraih pingat perak Sukan Olimpik Atlanta 1996.

"Yang paling penting, hubungan di antara ketua jurulatih dan pembantunya. Sambil itu, kami perlu melihat pemain yang sedia ada mampu dididik dan dibentuk," kata Norza.

Norza turut memberi bayangan akan membawa masuk lebih daripada seorang jurulatih untuk memantapkan skuad beregu lelaki bagi mengatasi kemelut yang melanda skuad negara.

"Pandangan saya, dengan kehadiran 22 pemain yang ada ketika ini, tentu sahaja khidmat Soon Kit dan Rosman Razak tidak memadai.

"Sebab itu, saya sanggup katakan saya sedia mempertimbangkan untuk melantik bukan seorang sahaja sekiranya kami memerlukan jurulatih," tambahnya.