Pemain badminton perseorangan lelaki nombor satu dunia, Kento Momota, terselamat daripada nahas maut sehari selepas mengungguli Kejohanan Masters Malaysia apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya yang meragut satu nyawa.

Dunia badminton digemparkan dengan berita Momota terlibat dalam kemalangan di KM 13.7, Lebuhraya Maju Express (MEX) ketika menaiki sebuah van dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 4.40 pagi tadi.

Dia dan tiga individu lain -- dua daripada mereka daripada kem badminton Jepun -- mengalami kecederaan ringan dan berada dalam keadaan stabil.

Semua mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Putrajaya di mana mereka menerima rawatan susulan dan dipindahkan ke wad eksekutif untuk pemantauan lanjut.

Bagaimanapun, pemandu van itu yang dikenal pasti sebagai B. Nageswarau disahkan terbunuh.

Kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Momota mengalami kecederaan patah hidung di samping luka dan melecet di bahagian mukanya. Namun, ia hanya melibatkan kepatahan yang kecil.

"Buat masa ini, tidak perlu pembedahan dan dia dalam keadaan sedar serta stabil. Diharapkan semua peminat badminton tenang dan tiada sebarang spekulasi negatif.

"Apabila tiba waktu sesuai, dia akan dibenarkan pulang ke Jepun," kata Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria.

BAM juga memberi jaminan Momota dan semua mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu akan diberi bantuan kelas pertama.

Badan induk itu turut menekankan keyakinan atas kredibiliti syarikat pengangkutan yang dipertanggungjawabkan ketika penganjuran Masters Malaysia yang berakhir semalam.

Meskipun kemalangan itu mendapat perhatian kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS), BAM menegaskan mereka tidak akan bersikap lepas tangan.

"Momota dalam perjalanan pulang ke Jepun. Dia menarik diri daripada saingan Masters Indonesia.

"Sebenarnya, kami sudah biasa bekerjasama dengan syarikat pengangkutan yang terlibat, jadi ia merupakan syarikat yang sah. Saya fikir apa yang penting adalah syarikat itu kini berusaha untuk membantu," ujar Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.



Editor: Nafis Abdullah