Bintang badminton Jepun dan pemain nombor satu dunia, Kento Momota, terlibat dalam satu kemalangan ngeri di KM 13.7, Lebuhraya MEX, Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Momota, yang menjuarai Kejohanan Masters Malaysia semalam, sedang dalam perjalanan bersama beberapa yang lain menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) apabila van yang mereka naiki merempuh belakang sebuah lori kira-kira jam 4.40 pagi.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM), dalam satu kenyataan rasmi hari ini, merakamkan rasa sedih di atas kemalangan itu.

Menurut kenyataan itu, pemandu van, B. Nageswarau, 24, terbunuh manakala Momota mengalami luka-luka di muka di samping patah tulang hidung.

Penolong jurulatih, Yu Hirayama, 35, luka di kaki kanan, ahli fisioterapi, Morimoto Akifumi, 42, mengalami gegaran otak manakala pengendali sistem Hawkeye, William Thomas, 30, mengalami luka-luka di dahi dan kaki.

Kesemua mereka yang cedera, yang dikejarkan ke Hospital Putrajaya, dilaporkan dalam keadaan stabil.

Menurut kenyataan itu lagi, BAM sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan dan Hospital Putrajaya untuk memastikan mereka mendapat perkhidmatan perubatan terbaik.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, dan ketua jurulatih pasukan badminton Jepun, Park Joo-bong, turut melawat mangsa di hospital itu pagi ini.





Sementara itu, Syed Saddiq dalam respons segeranya ketika ditemui di Hospital Putrajaya mengesahkan: "Pemandu van malangnya telah meninggal dunia dan terdapat empat individu lain terlibat, termasuk pemain nombor satu dunia, Momota.

"Selepas mendengar laporan daripada doktor, keempat-empat individu itu sedang dalam pemulihan dan stabil," katanya.

Norza menambah: "Pihak BAM dan seluruh warga badminton ingin merakamkan rasa sedih terhadap apa yang berlaku pagi tadi.

"Kalau boleh saya simpulkan, selain daripada pemandu yang telah meninggal dunia dan dibawa ke Hospital Serdang, pihak doktor boleh katakan yang mangsa-mangsa lain hanya mengalami kecederaan ringan," katanya.

*Foto: Ihsan Bomba


Editor: Muzaffar Musa