Kento Momota mengakui bahawa dia sudah mula memikirkan mengenai persaraannya daripada sukan badminton selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Malaysia awal tahun ini.

Beberapa jam selepas dia menewaskan Viktor Axelsen untuk menjuarai Masters Malaysia, van yang membawa pemain nombor satu dunia itu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melanggar belakang sebuah lori di Lebuhraya MEX.

Bintang Jepun itu dibenarkan keluar daripada Hospital Putrajaya dua hari kemudian, namun terpaksa menjalani pembedahan mata kerana mengalami masalah penglihatan selepas pulang ke negaranya.

"Pada ketika itu, saya berasa seperti sudah berputus asa," katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

"Selepas kemalangan itu, saya langsung tidak dapat bergerak dan saya bergelut untuk mengembalikan kecergasan.

"Kemudian saya mengalami masalah mata dan saya berkira-kira sama ada mahu menjalani pembedahan itu atau tidak.

"Pada ketika itulah semangat saya hampir musnah," katanya.

Selepas selamat menjalani pembedahan, juara dunia dua kali itu kembali berlatih pada 29 Februari lalu dan bersedia untuk mengembalikan prestasi terbaiknya untuk terus mendominasi acara perseorangan lelaki.

"Isu yang perlu saya hadapi ialah apabila saya berada di gelanggang, saya mahu beraksi.

"Saya perlu memastikan yang saya melaluinya dengan perlahan-lahan.

"Jika saya tergesa-gesa untuk melakukannya, saya berisiko untuk cedera.

"Saya mahu mengurangkan kesilapan itu.

"Saya mahu kembali dengan lebih kuat berbanding sebelum ini.

"Saya mahu bekerja lebih keras berbanding sebelum ini.

"Saya mahu menyasarkan pingat emas (dalam Sukan Olimpik).

"Saya tidak pernah berehat daripada sukan badminton untuk tempoh yang lama.

"Saya amat gembira apabila dapat memukul bulu tangkis," tambahnya.