"Agenda utama bukan kepada (Datuk Lee) Chong Wei sahaja." Demikian tegas ketua jurulatih perseorangan badminton negara, Datuk Misbun Sidek, bahawa peranan utamanya dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjurus kepada membentuk pemain lain setanding jaguh nombor satu negara itu.

Arena badminton negara dilihat masih samar dalam mencari pelapis sehebat Chong Wei.

Justeru, itulah peranan utama legenda badminton itu di BAM untuk menyumbang ilmu yang lebih berkesan dalam melahirkan jaguh negara sebagaimana yang dilakukan terhadap Chong Wei suatu ketika dahulu.

Misbun enggan kepulangannya ke pangkuan BAM disalahertikan hanya khusus untuk Chong Wei, sebaliknya dia ingin memastikan perseorangan lelaki seperti Lee Zii Jia, Soo Teck Chi dan Iskandar Zulkarnain turut mampu digeruni di pentas antarabangsa.

"Kita tidak tahu bilakah Chong Wei akan berhenti (bersara).

"Dalam masa sama, lanjutan perancangan mencari penggantinya dan melahirkan atlet yang lebih berkaliber menjadi keutamaan kami.

"Kami menganggap kalau Chong Wei berhenti nanti, ada pemain lain (yang mampu menggantikan tempatnya," ujarnya di Bukit Kiara, hari ini.

Mengulas rekod pukulan terpantas 417km/j yang dicatat Chong Wei sewaktu Terbuka Jepun, Misbun mahu pemain lain turut menekankan pukulan seumpama itu sebagai senjata utama di gelanggang.

"Daripada awal penglibatannya, senjata utama Chong Wei adalah pukulan rejaman.

"Kalau dilatih secara spesifik, sudah tentulah dia mendapat kekuatan dan kepantasan seperti itu."

Chong Wei kini bersedia untuk beraksi dalamTerbuka Denmark dan Perancis, bulan depan.