Pengarah Program Pembangunan Remaja, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek, belum ada perancangan untuk memperkasakan barisan kejurulatihannya meskipun terdapat khidmat seorang jurulatih berpengalaman yang boleh disambarnya ketika ini.

Jurulatih yang dimaksudkan itu adalah adik bongsunya, Rashid Sidek, yang baru sahaja meletakkan jawatan ketua jurulatih Akademi Sports Affairs.

Misbun mendedahkan perkembangan itu turut mengejutkannya sepertimana yang dirasai peminat tanah air.

"Buat masa ini, saya masih tidak mendengar apa-apa.

"Saya hanya mengetahui bahawa adik saya telah berhenti (daripada Sports Affairs) melalui media.

"Saya pun tidak tahu (mengenai perkara itu).

"Cuma beberapa bulan lalu, saya ada terbaca yang dia melatih skuad para.

"Cara dia menjaga skuad itu seolah-olah dia sedang fokus ke arah itu

"Buat masa sekarang ini, saya tidak tahu apa-apa cerita sebab dia pun tidak beritahu saya," katanya.

Sejak diumumkan untuk mengisi jawatan baru itu Selasa lalu, Misbun tidak melengahkan masa dalam mengenal pasti masalah utama yang membelenggu skuad remaja negara.

Dia diberikan dua bulan untuk menyelesaikan kepincangan itu sebelum menyenaraikan perancangannya kepada BAM.

"Kualiti jurulatih, yang saya lihat dalam beberapa hari ini, saya tidak terlalu memantau cara mereka bekerja tetapi saya melihat kepada modul-modul dalam latihan.

"Jadi, buat sementara ini, saya perlu berpuas hati dahulu sebelum membuat sebarang lanjutan.

"Setakat ini, saya dapat lihat mereka mahu bekerja," tambahnya.




Editor: Muzaffar Musa