Nama Datuk Misbun Sidek dan Morten Frost adalah satu perseteruan yang diketahui umum di sekitar era 80-an.

Kini mereka bakal bekerjasama apabila Frost memegang jawatan pengarah teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) manakala Misbun bakal mengetuai kem perseorangan lelaki negara.

Bagi Misbun, dia tidak mempunyai masalah untuk berganding bersama Frost kerana baginya, masing-masing mempunyai perancangan hanya untuk kebaikan skuad badminton negara.

"Frost berada dalam bidang yang berlainan kerana dia duduk di bahagian pengurusan dan bukan teknikal.

"Peranannya jauh berbeza kerana saya hanya menjaga bahagian perseorangan dan sehingga sekarang, saya tidak mempunyai masalah," ujar Misbun.

Ketika ditanya sama ada sejarah lama bakal berulang kerana sebelum ini Misbun sudah meninggalkan BAM beberapa kali, dia menyifatkan jika kata sepakat dapat dicapai, maka segala-galanya akan berjalan lancar.

"Sebenarnya sudah tiga kali saya berhenti sebelum ini.

"Walaupun semua yang ada adalah rakan saya, bila masuk aspek kerja, saya perlu serius," kata Misbun.