Ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek, terkilan susulan tindakan anak didiknya, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, yang mengambil keputusan mengundurkan diri tanpa merujuk dengannya terlebih dahulu.

Misbun tidak dimaklumkan mengenai hal itu sehinggalah mengetahuinya menerusi perkongsian di media sosial.

Iskandar dilaporkan terus berjumpa Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, untuk menyatakan hasratnya mengundurkan diri setelah 15 tahun bersama skuad negara.

Misbun ternyata kecewa, apatah lagi dia merupakan individu yang memberikan sokongan tatkala Iskandar dipalit beberapa kontroversi sebelum ini.

"Ia tindakan yang tidak elok, kalau ada apa-apa hal, eloklah beritahu saya terlebih dahulu kerana saya boleh menawarkan bantuan.

"Tetapi, kalau saya membangkitkan hal ini kepada presiden BAM, sudah pasti beliau akan pelik kerana menyangka Iskandar ada berbincang dengan saya.

"Pada saya, tindakan itu tidak berapa bagus," ujarnya.

Kru Nadi Arena cuba menghubungi Iskandar, namun pemain berusia 27 tahun sudah pulang ke Muar, Johor.

Pengunduran Iskandar bermakna sandaran dalam kem perseorangan lelaki negara kini hanya tertumpu kepada Lee Zii Jia, Tan Jia Wei, Cheam June Wei dan Leong Jun Hao.

"Saya akan melatih pemain yang mahukan saya dan barisan kejurulatihan untuk membantu mereka.

"Kalau pemain tidak mahu di bawah tunjuk ajar saya, ia tidak mengapa kerana itu keputusan mereka sendiri," tambahnya.

Sementara itu, Norza mengesahkan sudah bertemu dengan Iskandar pagi semalam dan pemain itu akan meninggalkan skuad negara bermula Januari 2019.

Bagaimanapun, Norza enggan mendedahkan punca sebenar juara kebangsaan 2015 itu bertindak sedemikian.

Pengunduran Iskandar itu bermakna berakhirlah legasi keluarga Zainuddin dalam skuad kebangsaan apabila sebelum ini pemain beregu lelaki, Ameer Amri, turut mengambil tindakan sama.

"Perjuangannya dalam badminton belum berakhir. Iskandar ingin mencari pengalaman di luar, terutama menjadi pemain profesional.

"Kami telah berbincang dengannya dan menghormati keputusannya," katanya.

Dalam masa yang sama, Norza mendedahkan buat julung kalinya, jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei, akan membuat kemunculan di hadapan khalayak ramai dalam satu sidang media pada Khamis ini.

"Chong Wei memberitahu sudah tiba masanya untuk berhadapan dengan khalayak dan mengadakan sidang media," katanya.