Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, mengharapkan tahap usaha yang tinggi daripada anak buahnya menjelang aksi Piala Thomas di Bangkok, Thailand, bermula Ahad depan.

Malaysia menyenaraikan empat pemain perseorangan lelaki bagi edisi kali ini, Datuk Lee Chong Wei, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao.

Berdasarkan perkiraan usia, semestinya ia mencatatkan umur yang sangat muda kerana selain Chong Wei yang berumur 35 tahun, Iskandar berusia 26 tahun, Jun Hao (18) dan Zii Jia (20), namun Misbun tidak menganggapnya sebagai satu alasan untuk skuad negara tidak mempamerkan aksi terbaik.

"Berdasarkan pasukan yang saya siapkan, ia sememangnya sangat baru bagi saya. Jadi, saya cuba untuk memahami setiap kekurangan yang ada pada mereka dan kelebihan yang patut digunakan untuk bertemu pasukan lain.

"Apabila sudah berada di dalam gelanggang, peratusan untuk saya menghulurkan bantuan hanya lima hingga 10 peratus dan selebihnya terpulang kepada pemain-pemain. Saya harap mereka faham," katanya.

Dalam masa sama, selaku pemain paling senior dalam kem negara di Piala Thomas, Chong Wei sedar dia harus menunjukkan disiplin yang mampu menjadi contoh terbaik buat rakan sepasukan lain.

Dia juga melihat tekanan yang dihadapi pasukan negara adalah satu situasi yang normal apabila perlu beraksi di pentas seperti Piala Thomas.

"Bagi saya, ia mungkin berbeza kerana saya merupakan paling senior. Mungkin saya bersama Tan Wee Kiong dan Goh V Shem adalah kelompok pemain paling berusia dalam pasukan dan selaku pemain senior, kami harus memberikan contoh yang terbaik untuk pemain muda.

"Tekanan memang ada kerana ia adalah Piala Thomas, sama juga jika bercakap soal bola sepak dan Piala Dunia," ujar Chong Wei.