Ketua jurulatih perseorangan badminton negara, Datuk Misbun Sidek, menyifatkan gaya permainan Datuk Lee Chong Wei sudah dapat dibaca oleh lawan sehingga menyebabkannya terkandas dalam pusingan kedua Terbuka Denmark.

Chong Wei tewas dalam pertarungan tiga set di tangan pemain India, HS Prannoy, di Odense Sports Park, sekaligus terlepas peluang untuk meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-35 dengan kemenangan.

Lebih mengecewakan, dia mendahului lawan 13-10 dalam set penentuan, namun terpaksa akur susulan kesilapan mudah yang sering dilakukan sehingga menyebabkannya menanggung kekalahan kedua di tangan Prannoy selepas tunduk kepada lawan sama ketika saingan Terbuka Indonesia, Jun lalu.

Perkara itu membuatkan Misbun beranggapan bahawa Chong Wei kini perlu meneliti semula corak permainannya sama ada daripada segi kepantasan mahupun taktikal di atas gelanggang.

“Daripada pergerakan Chong Wei, semua sudah dapat diagak. Lawan sudah boleh menghafal cara pukulan bola ataupun taktikal Chong Wei,” kata Misbun.

Di sebalik kekecewaan itu, Misbun tetap menaruh keyakinan tinggi terhadap anak didiknya itu yang diharapkan akan tampil dengan aksi lebih baik dalam Terbuka Perancis yang bakal bermula 24 Oktober ini.

Berdasarkan rekod, Chong Wei sudah tiga kali merangkul kejuaraan Terbuka Perancis dengan kejayaan terakhir dimenangi pada tahun 2015.

“Di sana, dia akan menyambung misi peribadinya dan saya harap dia dapat menstabilkan diri untuk lebih fokus daripada apa yang dia harapkan, itu sahaja.

“Dia mesti ada rasa keseronokan, kenikmatan daripada permainan yang ditampilkan, baru dia akan mencapai satu permainan yang sangat hebat,” kata Misbun lagi.