Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, menggesa anak buahnya supaya bangkit awal pada musim ini selepas tidak berpuas hati dengan persembahan mereka dalam Kejohanan Masters Thailand.

Persembahan dalam kejohanan itu menyaksikan perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dan Cheam June Wei, masing-masing tersingkir di peringkat awal.

Misbun menjelaskan ia berpunca daripada kelekaan barisan pemain tentang betapa pentingnya penerapan perkara asas dalam penglibatan setiap kejohanan.

"Ini adalah petanda bahawa mereka harus memberi banyak tumpuan kepada latihan yang diberikan.

"Kejohanan ketika ini sedang rancak sehingga perkara-perkara asas banyak yang tertinggal.

"Mereka harus sedar apa yang perlu dipersiapkan bagi menghadapi kejohanan selepas ini," katanya dalam majlis perkahwinan anaknya, Misbun Ramdan, di Semarak hari ini.

Dalam pada itu, Misbun berpendapat prestasi Leong Jun Hao dan Ng Tze Yong dalam kejohanan sebelum ini telah membuktikan bahawa mereka mampu menggalas cabaran dalam Kejohanan Berpasukan Asia bulan depan.

Ia sebagai langkah untuk memberi peluang kepada pemain muda lain yang menyaksikan Lim Chong King dan Aidil Sholeh Ali Sadikin bakal direhatkan selepas diturunkan dalam Sukan SEA Filipina 2019.

"Kami juga ambil kira pencapaian kejohanan lalu.

"Tze Yong seorang pemain yang sedang meningkat naik berdasarkan perkembangannya dalam latihan yang telah diberikan."



Editor: Shaiful Shamsudin