Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, menginginkan Datuk Lee Chong Wei berada di gelanggang latihan sewaktu beliau membuka pintu Akademi Badminton Malaysia pada hari pertama latihan rasmi 2019.

Hasrat Chong Wei kembali ke gelanggang sebelum hujung tahun ini tidak kesampaian selepas gagal memperoleh pelepasan pakar perubatan.

Meskipun sudah mengatasi belenggu kanser, masih belum ada pengesahan rasmi daripada Chong Wei sama ada dia akan turun ke ABM dalam latihan rasmi pertama musim 2019 pada Rabu ini.

Atas dasar itu, apa sahaja kemungkinan membabitkan kepulangan semula Chong Wei tetap akan disambut baik oleh Misbun.

"Kami tidak mahu mengganggu dan memberikan tekanan kepada Chong Wei. Kami mahu dia kembali ke gelanggang secara terbuka dan berbincang mengenai perancangan untuk tahun 2019," katanya.

Misbun, bagaimanapun, tidak berselindung di sebalik tahun sukar 2018 yang menyaksikan Malaysia melalui kempen sukar dalam Piala Thomas dan Sukan Asia.

Tetapi pada masa sama, dia teruja dengan pembentukan positif generasi baru perseorangan lelaki seperti juara Terbuka Taiwan 2018, Lee Zii Jia.

"Ketiadaan Chong Wei, saingan dalam pemain perseorangan memberikan persaingan untuk menonjolkan kebolehan masing-masing. Saingan dalam kalangan pemain dalam sesi latihan sangat baik buat ketika ini."