Misbun lakukan persediaan tanpa Chong Wei

Oleh Staff Writer 11 Disember 2018 234
Misbun lakukan persediaan tanpa Chong Wei
Ketiadaan Datuk Lee Chong Wei dalam tempoh masa lama buat skuad perseorangan lelaki negara menyaksikan ketua jurulatih, Datuk Misbun Sidek, mencari individu lain bagi mengisi kekosongan sebagai tonggak utama Malaysia.

Peranan Chong Wei sebagai senior sangat berharga dalam pembentukan bakat muda negara.

Walaupun belum ada yang berupaya mengikut jejak langkahnya di pentas tertinggi dunia, kehadiran Chong Wei menawarkan impak ketika latihan harian.

Misbun menegaskan ia bukan satu kejutan buatnya andai Chong Wei memerlukan masa yang lebih panjang daripada Januari 2019 untuk tampil semula ke gelanggang latihan.

"Dalam mencari ketua, kadangkala pemain tahu sendiri apabila berlatih dengan aksi yang sukar, mereka sedar itu adalah sebahagian daripada acara perseorangan. Pemain yang sering kalah ketika berlatih, dia tidak mungkin akan menjadi ketua.

"Pembawaan Chong Wei dalam latihan membuatkan pemain lain tahu penampilannya memberi manfaat kepada semua," ujar Misbun.

"Saya tidak jangka apa-apa. Hanya Chong Wei yang tahu. Jika dia memerlukan tempoh lebih lama, saya faham dan baik sahaja. Setiap keputusannya perlu dihormati dan apa yang penting adalah keinginannya untuk kembali ke dalam gelanggang. Itu adalah satu kekuatan luar biasa."

Sementara itu, pemain perseorangan yang sedang meningkat naik, Lee Zii Jia, berkongsi sentimen ketiadaan Chong Wei dalam skuad ketika ini.

Perasaan rindu memaksa mereka untuk berdikari dan mula berhasil dalam meningkatkan prestasi dia serta rakan yang lain dalam kejohanan terbuka.

Walaupun memandang kepada pemain seperti Soong Joo Ven dan Lim Chi Wing sebagai nama yang lebih layak mengetuai cabaran skuad ketika ini, Zii Jia akan melakukan apa yang terdaya bagi memastikan dia memenuhi kemahuan Misbun.

"Saya sudah mula membiasakan diri dan saya sering berkata sebelum ini bahawa kami harus meneruskan cabaran," kata Zii Jia.

"Saya masih muda, jadi tidak katakan saya seorang ketua. Cuma, ketika latihan, jika rakan sepasukan meminta tolong, saya akan cuba. Saya juga harap mereka boleh beraksi dengan bagus, jadi kami sama-sama bertarung dalam kejohanan."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen