Bakat muda perlu diuji secara terancang atau berdepan risiko tenggelam di sebalik tekanan luar biasa.

Projek 24 Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan menyegerakan program beberapa prospek muda negara.

Antara yang berada dalam senarai itu adalah bakat berusia 15 tahun, Fazriq Razif, yang disebut-sebut sebagai wajah masa depan badminton Malaysia.

Kelebihan bakat semula jadi Fazriq menyaksikan dia tidak kekok beraksi dalam acara beregu dan perseorangan.

Atas dasar itu, pelbagai pihak berasakan potensi sebenar dia hanya akan terserlah jika berlatih secara konsisten bersama pemain lebih senior.

Tetapi sebarang perancangan perlu penelitian seperti yang dikongsi bapa saudara Fazriq dan ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek.

"Walaupun Fazriq masih muda, cara pemikirannya jauh ke hadapan. Ditambah pula dengan dikendalikan oleh bapanya, iaitu bekas pemain negara, Razif Sidek," kata Misbun.

"Arah tuju pemain itu sudah betul tetapi persoalannya mampukah pemain itu menahan tekanan yang dengan intensiti latihan skuad perseorangan negara kerana mereka telah beraksi dalam peringkat senior sejak beberapa tahun.

"Satu perancangan yang terperinci harus diberikan kepada Fazriq kerana dia merupakan salah seorang pemain yang berpotensi serta prospek masa depan badminton Malaysia," tambahnya.