Pemain badminton beregu wanita negara, Lee Meng Yean, menyifatkan kejayaan meletakkan namanya dalam senarai ke Piala Uber 2018 sebagai nafas baru dalam kelangsungan kerjayanya.

Kecederaan lutut yang dialami Meng Yean pada Februari lalu menyaksikannya terpaksa diketepikan daripada kempen kelayakan Piala Uber.

Dalam tempoh menjalani proses pemulihan itu juga membuatkannya terpaksa menyaksikan gandingannya, Chow Mei Kuan, memperoleh kejayaan bersama Vivian Hoo memenangi pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Justeru, Meng Yean menegaskan bahawa amat penting melihat kepada peluang untuknya mewakili Malaysia di Bangkok, Thailand.

"Saya rasa sangat gembira dan bertuah sebab selepas kecederaan, jurulatih masih memberikan harapan kepada saya. Saya akan buat sebaik mungkin bagi mendapatkan mata," katanya.

Meng Yean juga terbuka dengan kemungkinan dirinya tidak akan beraksi dalam setiap perlawanan sambil barisan kejurulatihan ketika ini serius untuk bereksperimen dengan kombinasi beregu.

"Kalau dalam Piala Uber, pemain akan bergandingan dengan sesiapa sahaja dan bergantung kepada strategi jurulatih. Semua pemain harus menerima pertukaran jurulatih kerana ia untuk kemenangan pasukan, bukannya untuk individu," tambahnya.