Selepas empat tahun, Malaysia mungkin akan memiliki semula beregu wanita elit dunia apabila gandingan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean semakin menembusi kelompok 10 terbaik.

Kali terakhir pasangan wanita negara memecah kelompok 10 terbaik dunia adalah menerusi Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang menduduki tangga kesembilan pada November 2015.

Mei Kuan-Meng Yean kini berada di tangga ke-13 dunia dan berpeluang cerah untuk mengulangi pencapaian itu.

Namun, cabaran mereka kini adalah untuk mengejutkan pasangan utama dunia bagi melonjakkan kedudukan ke dalam kelompok elit.

"Sehingga hujung tahun ini, mereka perlu melakar sekurang-kurangnya satu atau dua kejutan ke atas beregu di ranking 10 teratas.

"Selepas itu barulah ranking mereka akan naik.

"Setakat ini, mereka masih di zon ranking 11 hingga 15.

"Saya rasa pasangan yang lebih bawah (kedudukan ranking) susah untuk menewaskan mereka, namun untuk menewaskan pasangan 10 teratas, mereka masih berada sedikit di bawah," kata ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak.

Dalam masa sama, Rosman turut mengesahkan M.Thinaah sudah lulus ujian percubaan untuk menjadi anak didiknya selepas beralih daripada acara perseorangan April lalu.

Biarpun gandingan Thinaah dan Pearly Tan membuahkan hasil untuk menjuarai Cabaran Antarabangsa Malaysia di Ipoh, kelmarin, jurulatih itu masih belum memuktamadkan sama ada gandingan berkenaan akan dikekalkan atau sebaliknya.

"Thinaah sudah boleh dikatakan sebagai pemain beregu wanita.

"Kini, dia perlu membuktikan (boleh) berada di satu tahap yang berbeza kerana ia hanya kejohanan IS (cabaran antarabangsa).

"Saya tidak mahu mereka terlalu gembira dengan keputusan itu.

"Sudah pasti mereka boleh berasa gembira, namun kami perlu melihat kepada bahagian yang lain kerana selepas ini mungkin giliran mereka pula," tambahnya.