Beregu profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, gagal menghadiahkan kemaraan ke final Kejohanan Masters Thailand sempena sambutan Tahun Baru Cina apabila tumbang di tangan beregu dari China, Huang Kai Xiang-Liu Cheng, dalam aksi straight set hari ini.

Selepas mengharungi pertarungan selama 62 minit ketika menentang wakil England dalam suku akhir semalam, V Shem-Wee Kiong, yang diletakkan selaku pilihan keempat buat pertama kalinya berdepan beregu di ranking 12 dunia itu yang turut bergelut untuk mara ke separuh akhir.

Bagaimanapun, keletihan langsung tiada dalam kamus lawan dari China itu apabila pantas mengutip mata demi mata dengan tampil lebih ampuh bersama kekuatan mental yang menjadi kelebihan mereka untuk meninggalkan wakil negara 21-15 dalam set pertama.

Set kedua membawa harapan besar buat beregu negara yang meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu untuk bangkit mengatasi Kai Xiang-Liu Cheng.

Namun, seperti set pertama, V Shem-Wee Kiong hanya berjaya memimpin mata awal sebelum sekadar mampu mengekori rapat kedudukan mata dan ditundukkan 11-21 dalam tempoh 43 minit.

Sementara itu, bergu lelaki negara yang baru digugurkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, menempah tempat dalam final menerusi kemenangan 21-17, 21-14 ke atas lawan dari Taiwan, Lee Jhe-Huei dan Yang Po-Hsuan.



Editor: Shaiful Shamsudin