Ketika pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 disifatkan sebagai milik Kento Momota, dua lagi tempat di podium terbuka buat pencabar lain, termasuk taruhan Malaysia, Lee Zii Jia.

Itu pandangan jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan, yang sedang mempersiapkan pemain berumur 22 tahun itu untuk menghadapi temasya Tokyo 2020.

Berdasarkan kelayakan ke Sukan Olimpik ketika ini, Zii Jia berada di landasan untuk ke Jepun sebagai wakil tunggal negara dalam acara perseorangan lelaki.

Misi jangka masa panjang Malaysia ialah menerusi Projek 24 dengan Zii Jia dan barisan pemain muda lain akan mencabar pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024.

"Lawan terhandal kepada Kento Momota adalah dirinya sendiri.

"Ini disebabkan tekanan yang bakal dihadapinya ketika beraksi di laman sendiri.

"Sehingga ke hari ini, dia meneruskan rentak kemenangannya dan muncul juara, jadi orang akan fikir dia pasti akan menjuarai Sukan Olimpik.

"(Tetapi dia boleh lakukannya) kalau dia boleh tangani tekanan itu," katanya selepas kekalahan anak buahnya itu kepada pemain terhandal di dunia berkenaan dalam separuh akhir Kejohanan Masters Malaysia di Arena Axiata, Bukit Jalil, malam tadi.

Tambahnya: "Bagi Zii Jia pula, dia sedang dipersiapkan untuk Sukan Olimpik 2024. Oleh itu, (penyertaannya dalam edisi) kali ini adalah untuk menimba pengalaman.

"Tetapi penampilannya dalam kejohanan kebelakangan ini memperlihatkan kematangan.

"Masih ada enam bulan lagi untuk dia membuat persiapan, apa jua boleh berlaku," katanya.



Editor: Shaiful Shamsudin