Beregu campuran muda negara, Man Wei Chong dan Pearly Tan, melakar kejutan terbesar dalam karier mereka selepas menundukkan pasangan campuran elit kelima terbaik dunia, Praveen Jordan dan Melati Daeva Oktavianti dalam Kejohanan Masters Malaysia 2020 di Arena Axiata, sebentar tadi.

Sebelum ini, gandingan yang berada di ranking ke-89 dunia itu tidak pernah menjalani latihan bersama dalam skuad beregu campuran negara, malah diturunkan dalam kejohanan tertentu sahaja.

Bagaimanapun, ia tidak menjadi masalah kepada Wei Chong-Pearly untuk menang mudah ke atas pemenang pingat emas Sukan SEA Filipina 2019 itu 21-18, 21-13 dalam tempoh hanya 27 minit.

"Kami tidak menjangkakan kemenangan dalam perlawanan ini. Saya dan Wei Chong telah berkomunikasi dengan baik dalam gelanggang dan gembira di atas kejayaan ini," kata Pearly.

"Ini merupakan kejohanan berstatus 500 buat kami. Ramai peserta di ranking yang tinggi dan kejayaan ini di luar jangkaan kami," kata Wei Chong.

Mereka bakal menghadapi satu lagi cabaran sengit dalam pusingan kedua apabila terpaksa bertemu pasangan di ranking kesembilan dunia dari Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja.



Editor: Ammar Hakim