Kem latihan pusat di Jepun membawa perubahan kepada perwatakan serta semangat pemain negara setelah menjalani latihan selama tujuh hari di Ehime minggu lalu menjelang Kejohanan Masters Malaysia di Axiata Arena, Kuala Lumpur, Selasa depan.

Sejurus tamat Sukan SEA Filipina dari 30 November hingga 11 Disember lalu, skuad negara diberi pelepasan untuk menikmati rehat hujung musim bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.

Bagaimanapun, realiti perjuangan mereka bermula apabila mengharungi kem latihan di Jepun selama tujuh hari yang membawa pertukaran terhadap perwatakan mereka.

"Mereka amat menepati masa, ia boleh membuatkan kami menjadi lebih berdisplin dan serius.

"Walaupun mungkin tidak banyak menjalani latihan di sana tetapi peluang mengenali budaya mereka akan bantu saya dalam Kejohanan Masters Malaysia," katanya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini.

Kejohanan bertaraf Super 500 itu menyaksikan pemenang pingat emas Sukan SEA berkenaan berdepan ujian getir, bermula dengan cabaran daripada bintang meningkat naik Denmark, Anders Antonsen.

Turut berada di laluan kemaraan Zii Jia adalah pemain terbaik dunia termasuk legenda China, Lin Dan, serta pemain nombor satu dunia, Kento Momota.

Editor: Shaiful Shamsudin