Sudah pelbagai corak permainan dicuba untuk menyekat pemain nombor satu dunia, Kento Momota, dalam perlawanan separuh akhir Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2020 di Arena Axiata, Bukit Jalil hari ini.

Namun, pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia, terpaksa mengakui dirinya masih jauh untuk menandingi Momota yang dengan mudah menewaskan pemain berusia 22 tahun itu 21-10, 21-19 dalam masa 43 minit.

Terdahulu, pasangan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying juga terkandas dalam separuh akhir selepas tewas kepada Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping.

"Saya pun tidak boleh cakap apa. Memang boleh nampak dalam perlawanan tadi, saya memang masih jauh lagi daripada dia," kata Zii Jia.

"Memang nampak dia santai sangat, saya tidak boleh buat dia lebih serius sebab nampak dia menikmati permainan dengan baik tanpa tekanan walaupun dalam set kedua saya cuba sehingga mencecah mata 19.

"Apa yang berlaku hari ini harus dilupakan kerana mahu memberi tumpuan kepada Masters Indonesia dan Thailand. Bagi saya, ada peningkatan prestasi di sini dan harap akan ada peningkatan yang lebih baik di Indonesia.”

Dalam pada itu, Zii Jia berpuas hati dengan pencapaian dalam edisi tahun ini kerana sekurang-kurangnya memperbaiki prestasi tahun lepasnya apabila menamatkan saingan dalam suku akhir.

Malah, katanya, dalam kejohanan kali ini juga, dia berjaya 'mengejutkan' beberapa pemain pilihan, sekali gus memberi motivasi kepadanya untuk terus memperbaiki permainan.

Momota bakal berdepan pilihan kelima kejohanan dari Denmark, Viktor Axelsen, dalam aksi final esok.

Terdahulu, Axelsen menundukkan pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long, 21-14, 21-18.

-- BERNAMA