Masters Malaysia: Lagi kejutan daripada Yew Sin-Ee Yi

Oleh Bernama 9 Januari 2020 6985
Masters Malaysia: Lagi kejutan daripada Yew Sin-Ee Yi
Beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, meneruskan rentak cemerlang apabila mengejutkan pasangan pilihan kelapan dalam Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2020, Han Cheng Kai-Zhou Dong, di Arena Axiata hari ini. 

Dalam aksi pusingan kedua itu, gandingan Yew Sin-Ee Yi hanya mengambil masa 31 minit untuk membenam beregu dari China itu yang kini berada di kedudukan ke-11 dunia, 21-13, 21-18. 

Di sebalik kejayaan mereka hari ini, Tan Boon Heong menjadi watak utama yang banyak membantu mereka daripada segi merencana strategi menentang pasangan China itu.

Menurut Ee Yi, Boon Heong, yang juga pemenang pingat emas Sukan Asia 2006 bersama Koo Kien Keat, banyak memberi nasihat dan membantu melakukan kajian mengenai lawan yang akan ditemui mereka dalam pusingan kedua itu.

“Ya, dengan ada Boon Heong di belakang, banyak bantu kami. Saya rasa dia juga tengok perlawanan pihak lawan yang akan kami hadapi. Dia baca corak permainan mereka dan sebelum mula perlawanan tadi, kami ada berbincang dengan Boon Heong. 

“Dengan bantuan Boon Heong, saya dan Yew Sin lagi jelas mengenali pihak lawan, jurang di antara kami dan pihak lawan juga lebih kecil,” kata Ee Yi.

Yew Sin-Ee Yi, antara tujuh pemain yang digugurkan daripada kem Persatuan Badminton Malaysia (BAM), bakal meneruskan aksi suku akhir berdepan pasangan Korea Selatan, Kim Gi Jung-Lee Yong Dae. 

Beregu ke-19 dunia itu sebelum ini turut mempamerkan aksi yang baik dengan menyingkirkan beregu ke-12 dunia dari India, Satwiksairaj Rankiredyy-Chirag Shetty, dalam pusingan pertama kelmarin.

Sementara itu, Yew Sin berkata mereka tidak mempunyai sebarang ‘rahsia’ mengenai prestasi cemerlang yang dipamerkan, sebaliknya tidak berfikir ke depan dan mengambil perlawanan satu persatu terlebih dahulu. 

“Kami tengok balik perlawanan sebelum ini, mereka banyak tangkap depan, jadi kami tukar sikit strategi. Kena banyak sabar dan main ‘rally’ yang panjang sikit,” kata Yew Sin mengulas mengenai perlawanan hari ini.

-- BERNAMA

Imej: @BA_Malaysia

Tentang Penulis

Bernama

Komen