Tidak ada laluan mudah buat wakil negara di laman sendiri apabila barisan pemain terbaik dunia mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan Masters Malaysia bermula 7 Januari ini.

Kejohanan itu merupakan pembuka tirai Siri Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu bagi musim 2020.

Berdasarkan kemas kini undian Masters Malaysia, empat pemain nombor satu dunia daripada lima kategori kecuali perseorangan wanita akan menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur.

Ia bermakna peminat badminton tanah air bakal menyaksikan bintang Jepun seperti Kento Momota dan beregu terbaik Indonesia, Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Gideon, beraksi merebut kejuaraan pertama bagi musim 2020.

Bagaimanapun, senario itu membawa petanda membimbangkan untuk kem negara yang diketuai perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, untuk mencabar gelaran dalam kejohanan sendiri.

Namun, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjanjikan prestasi baik daripada kem kebangsaan serta penganjuran yang bermutu untuk peminat tegar sukan itu.

"Memang kami faham harapan tinggi peminat tempatan kepada skuad kebangsaan. Wakil negara akan cuba beri yang terbaik di laman sendiri.

"Tetapi kami bukan sahaja mahu menarik peminat badminton, malah mahu menarik perhatian kelompok yang bukan daripada kalangan penyokong," kata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.

"Kami menerusi penaja dan rakan kongsi cuba mencipta satu konsep karnival di Arena Axiata, jadi mereka boleh datang menikmati aktiviti berkaitan badminton."