Kejohanan Masters Malaysia akan dilimpahi dengan kehadiran pemain terbaik tempatan dan dunia selepas sah menjadi kejohanan pembuka tirai bagi musim 2020.

Buat julung kalinya, Malaysia diberi penghormatan menjadi destinasi pertama dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menerusi saingan bertaraf Super 500 di bawah Jelajah BWF itu.

Kem Malaysia pasti akan mempertaruhkan kudrat terbaik seperti perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, dan beregu lelaki, Aaron Chia dan Soh Woi Yik.

Edisi 2019 menyaksikan pemburuan kejuaraan oleh kem negara dipacu skuad beregu lelaki menerusi gandingan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang layak ke final.

"Pencapaian dalam edisi tahun ini agak memberangsangkan.

"Ee Yi-Yew Sin muncul naib juara sementara Goh Jin Wei, Liew Darren, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pula mara ke separuh akhir.

"Jadi kami berharap edisi akan datang menjadi medan untuk barisan pemain negara mempamerkan dedikasi terutama kepada rakyat Malaysia bahawa mereka sudah bersedia untuk menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020," kata Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria.

Dalam pada itu, penaja Kejohanan Masters Malaysia, Perodua dengan kerjasama Daihatsu, akan memanjangkan pembabitan mereka dengan kejohanan berkenaan sehingga 2021.

"Tahun ini, sekali lagi Perodua-Daihatsu secara dasarnya bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada Malaysia Masters tahun depan.

"Ia kejohanan yang sangat penting kerana akan menjadi kejohanan bagi 2020 dalam usaha pemain untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020."