Dalam sukan badminton, perseorangan profesional lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, terkenang memori saingan Masters Malaysia 2016 menjelang persiapan menghadapi kejohanan itu bagi edisi 2020.

Tiga tahun lalu, dia mengesahkan status sebagai pemain kedua terbaik di belakang Datuk Lee Chong Wei apabila mereka berentap di pentas final.

Masters Malaysia buat julung kalinya akan menjadi kejohanan pembuka tirai di bawah kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Berbeza dengan edisi sebelumnya, kali ini dia memiliki masa yang cukup untuk menjamin persiapan lebih baik.

"Format kali ini agak berbeza kerana saya perlu melalui proses kelayakan terlebih dahulu. Tahun lalu, saya melaluinya tetapi tewas di pusingan pertama. Diharapkan tahun ini saya lebih bersedia bagi mengembalikan kegemilangan yang lalu," katanya.

Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi di India bermula Selasa ini akan menjadi kejohanan terakhir buat pemain pemain berusia 28 tahun itu bagi musim 2019.

"Kejohanan terakhir saya adalah di India. Saya harap dapat keputusan yang baik. Cuma saya diundi berdepan Bhamidipati Sai Praneeth dari India dan diharapkan saya dapat mengatasinya. Dia semakin meningkat tetapi ia peluang untuk saya mendapatkan semula keyakinan."