Misi Olimpik Tokyo 2020 untuk skuad badminton negara semakin sukar kerana Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mungkin mengambil langkah drastik melupakan khidmat perseorangan wanita, Goh Jin Wei, yang mengalami masalah kesihatan.

Pemain berusia 19 tahun itu dilaporkan sudah seminggu diberi cuti rehat gara-gara bergelut dengan masalah sakit perut yang kronik tetapi BAM masih memberikan sokongan kepadanya dan turut dipantau Institut Sukan Negara (ISN).

Tiada pengesahan dilakukan mengenai waktu untuk pemenang pingat emas Sukan Olimpik Remaja 2018 itu akan kembali, namun apa yang pasti dia akan terlepas tiga kejohanan penting bermula dengan Terbuka Indonesia, Terbuka Jepun serta Terbuka Thailand.

"Kami mengekalkan pilihan terbuka untuk dia dan situasi yang dihadapi Jin Wei itu sememangnya terkecuali. Kami akan memantau dari semasa ke semasa.

"Kami tidak mahu menolak peluangnya dan sama ada dia sempat pulih atau tidak, fokus kami untuknya tetap sama walaupun sekiranya dia tidak dapat sertai saingan Olimpik kali ini," kata Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann.

Sokongan BAM kini adalah memberi tumpuan sepenuhnya kepada seorang lagi pemain neara, Soniaa Cheah, sekiranya Jin Wei tidak dapat mengutip mata untuk layak ke Tokyo 2020.

"Jika dilihat daripada kekuatan keseluruhan, sememangnya Soniia dan Jin Wei yang menonjol. Pemain lain masih cuba ke arah peningkatan prestasi. Kami memang cuba," tambah Choong Hann.