Malaysia tidak mahu terlalu ghairah -- Soniia

Oleh Staff Writer 16 Februari 2020 833
Malaysia tidak mahu terlalu ghairah -- Soniia
Skuad perseorangan wanita negara diketuai Soniia Cheah menerima suntikan baru selepas memainkan peranan penting memastikan Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Uber secara merit.

Skuad kebangsaan memulakan kempen Kejohanan Berpasukan Asia tewas 2-3 di tangan Jepun ketika peringkat kumpulan walaupun Soniia dan seorang lagi perseorangan, S. Kisona, menyumbang mata.

Namun, kebangkitan terserlah di peringkat suku akhir apabila Malaysia menundukkan Taiwan 3-1 untuk ke separuh akhir bersandarkan aksi hebat Soniia dan perseorangan kedua, Goh Jin Wei.

Tuah sama diharapkan ketika separuh akhir sewaktu pertemuan semula dengan Jepun tetapi ia gagal  dilaksana selepas Soniia tewas di tangan pemain nombor tiga dunia, Akane Yamaguchi, tatkala Jin Wei terpaksa direhatkan ekoran tahap kecergasan tidak menentu sejak kembali beraksi, bulan lalu. 

"Saya sangat berharap agar Jin Wei dapat beraksi dalam Piala Uber dan buat Kisona, kami perlu berlatih lebih gigih. Sejujurnya, perseorangan kebangsaan tidak segagah wakil negara lain. Kami benar-benar perlu kerja keras dan tidak bersandarkan prestasi di sini," ujar Soniia.

Soniia juga menegaskan skuad negara tidak boleh terlalu ghairah dengan kejayaan menempah tiket ke pusingan akhir Piala Uber di Aarhus, Denmark, Mei ini.

Buat kali pertama dalam sejarah, skuad wanita layak secara merit ke Piala Uber selepas menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik Kejohanan Berpasukan Asia.

"Kami sangat gembira kerana tidak mudah untuk berada di sini. Saya harap kami dapat membawa semangat ini ke Denmark."


Editor: Nafis Abdullah

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen