Sambutan kurang hangat bagi bidaan kejohanan utama Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dari negara Asia, termasuk Malaysia dan Indonesia, menyaksikan Eropah memikul tanggungjawab untuk membantu China menjadi penganjur bagi kalendar 2019 sehingga 2025.

Empat edisi Kejohanan Dunia akan dianjurkan dalam tempoh 2019 sehingga 2025.

Selain Jepun pada 2022, tiga lagi negara Eropah menjadi tuan rumah bagi edisi 2021, 2023 dan 2025.

China menjadi penyelamat apabila bersetuju menjadi tuan rumah kepada dua edisi, iaitu Piala Sudirman serta satu edisi Piala Thomas dan Uber.

BWF, bagaimanapun, menegaskan tidak terkesan dengan situasi hilang pengaruh daripada Malaysia dan Indonesia.

"Saya agak berpuas hati memandangkan setiap bidaan hadir dengan dua edisi.

"Setakat ini segala persiapan tampak lebih baik dan saya tidak sabar untuk melihat kerjasama di antara penganjur dan BWF," ujar Presiden BWF, Poul Erik Hoyer Larsen.

Sebaliknya, apa yang dinantikan dunia adalah kemunculan semula Datuk Lee Chong Wei dalam salah satu kejohanan utama itu susulan bertarung dalam rawatan kanser.

"Jika Chong Wei dapat kembali, ia pastinya menjadi satu perkara yang sangat menarik," katanya lagi.