Kerinduan pada Datuk Lee Chong Wei dijangka berpanjangan buat peminat sukan tanah air apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyifatkan mustahil untuk pemain perseorangan nombor satu negara itu membuat penampilan semula tahun ini.

Berbaki dua bulan, platform untuk Chong Wei melakar kebangkitan semula musim ini semakin tipis.

Perkongsian terkini daripada Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai, Chong Wei berada dalam tahap kesihatan yang baik.

Tetapi daripada aspek fizikal pemain elit, ia hanya tinggal bayangan berbanding dia yang pernah menghuni ranking nombor satu dunia sebelum ini.

"Hanya berbaki dua bulan dan kejohanan terakhir adalah Terbuka Hong Kong. Mustahil untuk menyaksikan Chong Wei kembali beraksi tahun ini," kata Chin Chai.

Nama Chong Wei berada dalam perancangan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pendekatan ini bukan mahu meletakkan tekanan ke atas Chong Wei tetapi sebagai langkah berjaga-jaga jika keadaan semasanya bertambah baik dengan kadar segera.

"Kami tidak mahu memberikan tekanan kepada Chong Wei. Kami membenarkan Chong Wei untuk membuat keputusan sendiri bila dia akan kembali beraksi," ujarnya.