Malaysia perlu kaji punca penghijrahan jurulatih

Oleh Penulis Jemputan 1 Oktober 2017 1865
Malaysia perlu kaji punca penghijrahan jurulatih
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini berdepan tugas getir untuk mempersiapkan diri dalam misi membawa pulang emas daripada Sukan Olimpik Tokyo 2020 susulan tindakan jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan, meletakkan jawatan semalam.

Keputusan itu dilakukan oleh Jeremy kurang sebulan selepas Malaysia kehilangan khidmat pengarah teknikal, Morten Frost, yang turut meletakkan jawatan.

Jeremy dilaporkan menerima tawaran salah satu negara yang sedang meningkat naik dalam arena badminton dunia, sekaligus menimbulkan keraguan bekas pengarah prestasi tinggi BAM, Datuk James Selvaraj.

Baginya, BAM perlu meniliti dengan lebih telus untuk mengelakkan negara daripada terus kehilangan khidmat tenaga pakar yang mampu menjana kejayaan buat Malaysia, sama ada dalam tempoh jangka panjang atau pendek.

“Penghijrahan Jeremy adalah satu kehilangan besar buat negara kerana dia menjalankan tugas dengan baik.

"Mungkin dia mendapat tawaran daripada negara lain, namun kita harus bertanya kepada diri sendiri apakah punca perkara ini berlaku walaupun amat jelas mereka mampu menghadirkan sesuatu buat skuad badminton negara,” katanya.

Dalam masa sama, James menamakan Jepun yang kini mendapat sentuhan bekas jurulatih beregu lelaki negara, Park Joo-Bong, sebagai contoh bahawa Malaysia telah kehilangan individu yang mempunyai kebolehan istimewa dalam membentuk pasukan badminton yang menghadirkan gerun buat lawan.

Sejak memegang jawatan ketua jurulatih, Joo-Bong berjaya menghadirkan kejuaraan buat negara matahari terbit itu apabila menjuarai Piala Thomas 2014 serta memacu Nozomi Okuhara mengungguli perseorangan wanita dalam Kejohanan Dunia di Glasgow, Julai lalu. 

“Jika anda melihat kepada perkembangan skuad wanita dan beregu lelaki Jepun, jelas sekali mereka telah melalui satu peningkatan yang ketara.

"Kita perlu akui bahawa Joo Bong telah melakukan satu tugas yang hebat dan ternyata kita telah kehilangan sesuatu yang amat berharga.

“Saya ada mendengar beberapa perkara tetapi berharap agar tiada lagi jurulatih yang akan meninggalkan pasukan negara,” katanya lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen