Malaysia perlu elak kejutan daripada lawan kerdil

Oleh Staff Writer 27 Julai 2018 356
Malaysia perlu elak kejutan daripada lawan kerdil
Jurulatih beregu campuran negara, Pang Cheh Chang, yakin jika anak-anak buahnya dapat mengelak daripada menjadi mangsa lawan kurang ternama, mereka meraih peluang terbaik bagi menamatkan penantian bergelar juara dunia.

Saingan beregu campuran menyaksikan Malaysia cukup kukuh dengan pembabitan tiga gandingan dalam Kejohanan Dunia 2018 di Nanjing, China bermula Isnin ini.

Tumpuan sudah pasti kepada gandingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta Goh Soon Huat-Shevon Lai yang mendapat laluan percuma ke pusingan berikutnya tatkala hanya Tan Kian Meng-Lai Pei Jing perlu bermula dalam pusingan pertama berdepan wakil Taiwan, Liao Min Chun-Chen Hsiao Huan.

Bagaimanapun, Cheh Chang sentiasa memberi peringatan kepada mereka agar kekal fokus kerana di peringkat ini, keupayaan lawan sentiasa berada di luar jangkaan.

"Jika dibandingkan Kejohanan Dunia dan kejohanan terbuka, ia berbeza kerana semua pemain bersedia. Selalu ada kejutan. 

"Apa yang penting, pemain Malaysia harus mengelakkannya," ujar Cheh Chang.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini menyasarkan satu pingat mampu diraih dalam Kejohanan Dunia memandangkan ketika itu, jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, dilihat selaku sandaran utama.

Namun, ketiadaan Chong Wei akibat masalah kesihatan menjadikan bahagian beregu campuran muncul taruhan terbaik untuk memastikan sasaran itu tercapai.

"Tipulah jika saya katakan ia bukan satu tekanan. Saya rasa pemain sendiri mahukan kejayaan itu. 

"Di dalam gelanggang, mereka yang beraksi. Kami di barisan jurulatih hanya memberi tunjuk ajar dan membantu mengawal emosi mereka."

Sementara itu, Peng Soon mengakui dia terkesan dengan kehilangan aura yang sentiasa dibawa oleh Chong Wei dalam semua kejohanan utama sebelum ini.

Namun, dia yakin situasi yang menimpa jaguh perseorangan negara itu memberikan motivasi terbaik buat dia dan rakan sepasukan yang lain dalam Kejohanan Dunia kali ini.

"Jika dia (Chong Wei) tiada di sini, kami dalam semua bahagian harus kembali fokus. Jadi, kami tidak boleh gentar dan diharapkan semua pemain dapat beraksi lebih baik," katanya.

Peng Soon dan Liu Ying mempamerkan antara persembahan terbaik tahun ini apabila dua gelaran juara diraih dalam aksi Terbuka Amerika Syarikat dan Masters Thailand sambil bergelar naib juara Terbuka Indonesia dan Terbuka Australia.

Bagi Peng Soon, andai dapat bergelar juara dunia, ia sudah pasti menjadi hadiah terbaik selepas menyambut kelahiran cahaya mata ketiga, awal bulan ini.

"Saya harap sekurang-kurangnya dapat meraih pingat. Penyokong di Malaysia juga mengharapkan kami mengutip emas," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen