Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedia mengetepikan matlamat pendedahan Sukan SEA kepada pemain muda dengan mempertaruhkan gandingan profesional dalam misi membawa pulang pingat emas dari Filipina, November depan.

BAM sedar dengan kekuatan yang dimiliki pencabar seperti Thailand dan Indonesia untuk temasya dwitahunan itu apabila masing-masing membawa pulang empat dan dua emas daripada edisi 2017.

Saingan dua tahun lalu itu juga menyaksikan Malaysia sekadar pulang dengan satu emas menerusi perseorangan wanita, Goh Jin Wei.

Percaturan menyenaraikan pemain profesional dilihat menjadi satu keperluan, khususnya dalam acara beregu campuran, memandangkan ia prospek Malaysia untuk menuai hasil bersandarkan Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying yang kini menduduki ranking kelima dunia.

"Sasaran kami pastinya mendapatkan satu emas. Ia memang sukar tetapi kami masih mempunyai masa untuk meningkatkan kemampuan dan keseimbangan pemain," kata Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann.

Namun, timbul kerisauan buat badan itu kerana November depan padat dengan saingan antarabangsa seperti Terbuka Hong Kong, Masters Korea Selatan dan Kejohanan Antrabangsa Syed Modi di India yang menyaksikan pemain profesional perlu memilih sama ada mengukuhkan mata kelayakan Olimpik atau membantu Malaysia merangkul emas Sukan SEA.

BAM perlu menghantar senarai akhir nama pemain ke Sukan SEA 2019 kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selewat-lewatnya pada Khamis ini.

"Jelas sekali kami memiliki beberapa ketetapan dan ia adalah kriteria kami. Kami perlu utamakan Sukan SEA, jadi, keutamaan harus diberikan kepada saingan Sukan SEA. Kekuatan mental dan fizikal juga dititikberatkan, malah beberapa jenis sasaran ditetapkan berdasarkan pemain yang ada," tambah Choong Hann.