Pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying, meningkatkan latihannya sebagai persediaan utama untuk beraksi buat julung kali dalam kejohanan akhir Siri Super di Dubai pada Disember depan.

Meskipun hanya mara sehingga peringkat separuh akhir dalam dua Kejohanan Terbuka Jepun dan Korea tempoh hari, Liu Ying menyifatkan dia dan pasangannya, Chan Peng Soon, berjaya untuk meraih mata berharga bagi melonjakkan ranking untuk layak ke Dubai.

Dengan baki dua kejohanan Siri Super yang akan disertai mereka, Terbuka Denmark dan Perancis bulan ini, Liu Ying mahu mempamerkan aksi konsisten dengan mensasarkan layak sekurang-kurangnya ke separuh akhir bagi membantu untuk mengekalkan kedudukan ranking ke Dubai.

"Saya rasa apa yang paling penting sekarang ialah saya perlu menjalani latihan secukupnya, terutama latihan dari segi kekuatan.

"Di Korea dan Jepun, kami hanya bertahan sehingga separuh akhir kerana stamina kami sedikit lemah, jadi kami perlu untuk meningkatkannya lagi," jelas Liu Ying.

Tidak ketinggalan, beregu lelaki negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, juga berada dalam kedudukan terbaik untuk ke final Siri Super.

Selepas temasya Olimpik, prestasi pasangan beregu itu dilihat sedikit menurun apabila tidak mempamerkan aksi sebenar di Terbuka Jepun dan Korea.

Namun, Wee Kiong berjanji untuk bangkit agar tidak berputih mata terlepas daripada beraksi dalam final Super Siri buat pertama kali.

"Berdasarkan prestasi di Terbuka Korea dan Jepun, kami dapat melihat China mempertaruhkan pemain muda dan mereka mempunyai potensi yang sangat bagus dan juga Indonesia. Seperti biasa, Denmark mempunyai dua atau tiga pasangan beregu yang kuat.

"Kami mensasarkan untuk beraksi dalam final Siri Super," kata Wee Kiong.