Bintang beregu campuran negara, Goh Liu Ying, bersikap terbuka dengan senario Chen Tang Jie kekal sebagai pasangan beregunya untuk jangka panjang jika tiada jalan untuk dia kembali bergandingan bersama Chan Peng Soon.

Setakat ini, Liu Ying dan Peng Soon kekal sebagai beregu campuran terbaik negara dalam sejarah.

Bagaimanapun, masa depan tidak menentu mungkin memaksa mereka memilih haluan baru tatkala Peng Soon dilihat semakin serasi dengan gandingan barunya, Cheah Yee See.

Dalam masa sama, Liu Ying berada di landasan tepat untuk kembali daripada pemulihan pembedahan bahu dalam perancangan untuk menyertai kejohanan bersama pemain berbakat, Tang Jie.

Jika keputusan terbaik barisan kejurulatihan adalah untuk mengekalkan Peng Soon dan Yee See, maka Liu Ying berasakan Tang Jie adalah pengganti paling serasi.

"Saya belum memikirkan tentang tahap persembahan lagi. Perkara paling penting ketika ini adalah tahap keserasian kami, kemudian untuk bangkit daripada kecederaan.

"Oleh itu, baki kejohanan pada tahun ini adalah untuk membina keserasian kami.

"Dalam jangka panjang, dia adalah gandingan yang sesuai tetapi buat masa ini, kami perlu diberi masa," kata pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu.

Liu Ying dan Tang Jie kini dalam persiapan untuk menghadapi kejohanan sulung mereka di India pada hujung bulan depan.

Dia yang memainkan peranan sebagai mentor turut berkongsi kualiti dan perbezaan Tang Jie berbanding Peng Soon.

"Corak permainan di antara kedua-duanya sangat berbeza. Saya juga perlu menyesuaikan diri dengan corak permainannya.

"Bukan dia sahaja, bahkan saya juga tidak boleh lagi bermain seperti ketika bergandingan dengan Peng Soon.

"Untuk itu, saya juga perlu mengubah pendekatan permainan sendiri," katanya.