Tempoh empat bulan selepas ini bakal menjadi detik paling mencabar buat Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying dalam merencanakan masa depan mereka selepas mengambil keputusan keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Peng Soon-Liu Ying merupakan gandingan di ranking keenam dunia ketika ini.

Mereka mengambil keputusan di luar jangkaan selepas bertindak meleraikan ikatan bersama BAM bermula 1 Januari ini.

Susulan itu, mereka akan bergerak secara bersendirian dalam perjuangan memburu slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menurut Liu Ying, keputusan itu telah dipertimbangkan bersama Peng Soon sejak beberapa bulan lalu.

Ia tidak akan menjejaskan tumpuan mereka untuk sekali lagi menjejakkan kaki di pentas Sukan Olimpik.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 di Rio, Brazil itu, bagaimanapun, sedar mereka akan berdepan tempoh singkat dalam mencari penaja, jurulatih dan gelanggang latihan.

"Sasaran utama kami adalah untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kami berharap untuk mendapatkan bantuan kerajaan bagi melayakkan diri ke kejohanan itu.

"Kini, kami perlu menanggung sendiri perbelanjaan bagi menghadapi sebarang kejohanan.

"Segalanya masih dalam perancangan, termasuk melantik jurulatih peribadi," katanya.

Dalam pada itu, Liu Ying menyambut baik sokongan yang diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana menyedari tiada lagi kelebihan buat mereka menggunakan kemudahan melibatkan Institut Sukan Negara (ISN).

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, memberi jaminan pihaknya akan tetap membantu gandingan itu walaupun mereka tidak lagi bergelar pemain kebangsaan.

"Kami berharap untuk dapat bekerjasama dengan pihak kerajaan bagi membantu misi kami.

"Ia kerana kami memilih untuk mengikut haluan baru yang berbeza dengan falsafah BAM," tambahnya.