Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh Liu Ying, memasang tekad untuk menggunakan sepenuhnya pengalaman dalam kancah badminton antarabangsa bagi membantu pasukannya, Kelab Badminton (KB) Puchong United, untuk muncul juara saingan SS Purple League (SSPL) 2016/17.

Liu Ying yang pernah beraksi dalam Purple League yakin pasukannya mampu memberi tentangan sengit.

“Ini adalah kali kedua saya bermain dalam liga ini (Purple League), sudah tentulah saya mahu membantu KB Puchong United menjadi juara.

“Bagi saya, apa yang penting adalah kami perlu beraksi bersama selaku satu pasukan dan memberikan aksi terbaik dalam saingan itu nanti,” ujar pemain yang berasal dari Melaka itu.

Liu Ying juga mengharapkan pengalaman yang dimilikinya akan membantu kelab itu.

“Saya bermain dalam perlawanan antarabangsa seperti Super Series yang menampilkan pemain-pemain terhandal dunia. Jadi, pengalaman dari kejohanan-kejohanan antarabangsa saya harapkan akan dapat membantu kelab ini memberikan saingan sengit kepada pasukan lain."

Bagaimanapun, Liu Ying tidak akan bergandingan dengan pasangan Olimpiknya kerana Chan Peng Soon mewakili kelab lain dalam saingan SSPL nanti.

"Saya masih bermain dalam kategori beregu campuran, tapi mungkin digandingkan dengan pasangan lain kerana Peng Soon tidak bersama kelab ini."

Liu Ying yang baru saja kembali ke Malaysia setelah menyertai kejohanan di Macau, bersedia untuk menyertai SSPL pertengahan bulan ini.

Kesemua lima pemain badminton negara yang memenangi pingat perak dalam Sukan Olimpik Rio lalu bakal tampil beraksi dalam saingan SSPL.

Datuk Lee Chong Wei akan beraksi bersama-sama Goh V Shem untuk KB Petaling, Tan Wee Kiong (KB BU Dragons), dan Chan Peng Soon (KB Muar).

Saingan peringkat liga SSPL 2016/17 akan berlangsung di Gem In Mall, Cyberjaya dari 12 hingga 31 Disember ini dan di Stadium Badminton Cheras dari 2 hingga 8 Januari depan.

Peringkat kalah mati yang melibatkan enam pasukan terbaik liga akan berlangsung dari 9 hingga 13 Februari di Arena of Stars, Genting Highlands.