Pemain badminton beregu campuran negara, Goh Liu Ying, mendedahkan dia pernah terfikir untuk bersara daripada sukan badminton, namun kekentalannya untuk meneruskan karier itu membuahkan hasil sehingga membutirkan pingat perak dalam Sukan Olimpik.

Berdasarkan rekod, pencapaian terbaik Liu Ying bersama gandinganya, Chan Peng Soon, adalah menerusi pingat perak acara beregu campuran Sukan Olimpik 2016 di Rio, Brazil.

Namun, Liu Ying menerusi wawancara dalam Nadi@1 sebentar tadi mendedahkan dia pernah berfikir untuk bersara daripada sukan badminton ekoran kecederaan dan faktor kewangan keluarga.

"Ketika kali pertama saya menjalani pembedahan di kedua-dua belah lutut, saya berasa amat tertekan memandang ia merupakan kali pertama saya berdepan masalah besar sepanjang bergelar pemain badminton.

"Dalam masa sama, bapa saya juga mengalami masalah di bahagian lutut dan perlu menjalani pembedahan yang sama.

"Keadaan ekonomi kami tidak begitu baik ketika itu.

"Saya mula berfikir untuk berhenti bermain badminton kerana tiada pendapatan.

"Ketika itu saya mula menyedari yang saya tidak memiliki apa-apa selain sukan badminton," katanya.

Liu Ying turut mendedahkan dia tidak pernah menyangka untuk berada di pentas final Sukan Olimpik memandangkan dia baru pulih daripada kecederaan yang dialaminya ketika itu.

"Ketika Sukan Olimpik 2016, saya baru pulih daripada kecederaan lutut.

"Saya hanya meletakkan sasaran ke suku akhir bagi memperbaiki pencapaian ketika edisi di London pada 2012.

"Saya hanya fokus untuk melakukan yang terbaik dan akhirnya kami berjaya meraih pingat perak," tambahnya.