Pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying, bakal mendapat gandingan baru selepas pemain itu disahkan pulih sepenuhnya daripada kecederaan bahu yang dialaminya sejak April lalu.

Perkara itu disahkan oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, dalam perhimpunan bulanan badan induk itu hari ini.

Liu Ying bakal digandingkan dengan pemain yang baru diserap masuk, Chen Tan Jie, dari Kelab Badminton Petaling dan pertandingan pertama yang bakal disertai mereka adalah Kejohanan Cabaran Antarabangsa India, 29 November depan.

Ia bertujuan membantu Liu Ying mendapatkan semula rentak permainannya dalam kejohanan yang lebih rendah statusnya dalam saingan antarabangsa kerana berbanding jika dia bersama Chan Peng Soon, mereka akan bertanding dalam kejohanan yang jauh lebih kompetitif.

Peng Soon kini bergandingan dengan Cheah Yee See dan mereka sudah pun membuktikan kewibawaan dengan memenangi Grand Prix (GP) Emas Russia.

"Untuk memberi peluang Liu Ying bermain semula, dia tidak boleh terus beraksi dalam saingan Kejohanan Siri Super, sebaliknya perlu beraksi di peringkat lebih rendah dahulu.

"Dia akan diberi masa, mungkin dua hingga tiga bulan untuk mendapatkan kesesuaian itu," kata Norza.

Namun, BAM tidak menolak untuk menggabungkan semula Peng Soon-Liu Ying dalam kejohanan-kejohanan utama seperti Sukan Asia dan Sukan Komanwel, tahun hadapan.

"Kami tidak menolak untuk menggandingkan semula mereka dalam kejohanan besar seperti Sukan Komanwel tahun depan.

"Mereka yang diserapkan merupakan pemain dari akademi luar yang bermain dalam Purple League. Lima daripada mereka akan diletakkan di bawah (Cheah) Soon Kit dan dan seorang lagi hampir pasti digandingkan dengan Liu Ying," katanya lagi.

Selain Tan Jie, lima lagi pemain luar akan diserap masuk ke dalam BAM dan senarai penuh nama mereka akan diketahui apabila mereka melaporkan diri pada Isnin depan.