Bintang Badminton China, Lin Dan, yang mengumumkan persaraannya bulan lalu, masih belum menggantung raket sepenuhnya dan berharap dapat mempertahankan gelarannya dalam acara perseorangan lelaki Sukan Kebangsaaan China 2021.

Namun, ia hanya jika berat badannya tidak naik mendadak selepas bersara daripada arena badminton profesional.

"Jika berat badan saya meningkat menjelang Mac tahun depan, saya tidak akan bertanding lagi. Jika berat badan saya tidak naik, saya akan terus berusaha keras.

"Saya juga berharap dapat berpeluang bekerja keras bagi menyertai Sukan Kebangsaan 2021.

"Setakat ini, saya sudah menyertai lima (edisi) Sukan Kebangsaan, jadi jika segala-galanya berjalan lancar, saya harap dapat beraksi lagi," katanya seperti yang dipetik Beijing Youth Daily.



Sukan Kebangsaan, yang juga dikenali sebagai Sukan Seluruh China, merupakan temasya sukan perdana di negara itu.

Ia diadakan setiap empat tahun dan disertai kebanyakan atlet elit.

Lin Dan merupakan juara bertahan acara perseorangan lelaki selepas menewaskan Shi Yuqi 21-12, 21-13 dalam edisi 2017.

Dia juga memenangi edisi 2013 selepas menewaskan Du Pengyu 21-18, 21-5 dalam final.



Lin Dan meninggalkan pasukan kebangsaannya minggu lalu selepas memenangi hampir kesemua kejohanan yang ditawarkan sepanjang 20 tahun ini.

Penurunan prestasi gara-gara kecederaan menyaksikan dia terpaksa melupakan impian untuk beraksi dalam Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Pemenang dua pingat emas Sukan Olimpik itu juga semakin suram di peringkat antarabangsa selepas memenangi gelaran terakhir dalam Terbuka Malaysia 2019, di mana dia menewaskan rakan senegaranya, Chen Long.

Perlawanan final terakhirnya pala ialah dalam Masters Korea Selatan, di mana dia tewas kepada wakil Jepun, Kanta Tsuneyama.

Jaguh kidal itu mungkin sudah tidak berdaya dalam badminton peringkat elit tetapi dia sekurang-kurangnya boleh mengotakan janjinya dalam Kejohanan Kebangsaan tahun depan.

Selepas memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik 2022, Lin Dan tidak menyertai sebarang aksi kompetitif selama setahun sebelum kembali beraksi dan menewaskan Lee Chong Wei dalam final Kejohanan Dunia 2013.